Sunday 27 November 2011

IBU BAPA MENIGGAL DUNIA DAMBAKAN DOA ANAK BERIMAN

ALLAH memerintahkan seorang anak mentaati ibu bapa dan bersyukur dengannya. Ketaatan dan syukur itu digandingkan dengan ketaatan dan syukur kepada Allah.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya dan ucapkan kepada keduanya perkataan yang baik”. (Surah al-Isra’, ayat 23)

Mensyukuri kedua-dua orang tua wajib kerana melalui mereka anak lahir, terpelihara dan terdidik. Daripada ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, ketaatan kepada Allah tanpa ketaatan kedua-dua ibu bapa belum cukup meraih keredaan Allah SWT.

Kerana itu, dengan tegas Allah SWT menyatakan kewajipan taat dan syukur kepada ibu bapa berganding dengan kewajipan taat dan syukur kepada-Nya. Dengan kata lain, ketaatan kepada Allah dikaitkan dengan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa.
Justeru, Nabi SAW bersabda bermaksud: Reda Allah diperoleh melalui reda ibu bapa. Dan kemurkaan Allah ada dalam kemurkaan orang tua. Hadis ini diriwayatkan Imam at-Tirmizi daripada Ibnu ‘Amr al-‘Ash.

Tentu saja dimaksudkan ini sama dengan petunjuk Allah. Jika bertentangan dengan petunjuk Allah, maka anak tidak boleh mentaati orang tuanya. Meskipun demikian, ia wajib menghormati dan tidak melukai perasaan sekalipun mereka bukan Islam.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud daripada Abu Usaid al-Sa’idi, disebutkan ada seseorang datang kepada Nabi dan bertanya, “Apakah masih ada kewajipan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya sesudah mereka meninggal?” Nabi SAW menjawab, “Ya, berdoa dan memohon ampun kepada keduanya, melaksanakan pesannya, dan menghubungkan tali silaturahim kepada mereka yang tidak terjadi hubungan kekeluargaan tanpa kedua-duanya, dan berbuat baik atau menghormati temannya.”

Ibu bapa yang meninggal dunia mendambakan pelbagai perkara daripada anaknya. Kerana itu, sekali lagi dikatakan belum lagi dianggap berbakti kepada orang tua kecuali apabila ia mendoakan mereka yang sudah mendahuluinya.

Doa ini sangat penting, sehingga al-Quran meletakkan pujian kepada mereka yang mendoakan saudara seiman yang meninggal dunia. Allah SWT berfirman bermaksud: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara kami yang beriman lebih dulu daripada kami. (Surah al-Hasyr, ayat 10)

Tuesday 22 November 2011

PENDIDIKAN KEARAH PEMANTAPAN IMAN




BULAN Zulhijjah 1432 Hijrah semakin hampir kepada penhujungnya.. 

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya sudah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)

Hijrah merupakan strategik yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk menegakkan dakwah Islamiah. Kejayaan hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung keimanan serta ketakwaan yang padu. Penghijrah Rasulullah SAW inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini ialah mengikuti jejak langkah Baginda yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah. Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa supaya menjadi panduan kehidupan. Pemantapan iman berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan.

Dalam Firman Allah SWT yang terkandung dalam Al-Quran jelas menyatakan bahawa Allah SWT meninggikan darjat orang yang berilmu.

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Oleh itu pendidikan merupakan satu pendekatan atau sistem pembelajaran yang boleh melahirkan Muslim yang sejati. Pendidikan itu mestilah merangkumi ilmu pendidikan FARDHU AIN dan FARDHU KIFAYAH. Namun pendidikan ini mestilah bersepadu iaitu merangkumi semua aspek yang lengkap termasuk la ilmu SAINS & TEKNOLOGI. Pendidikan seperti inilah yang dikatakan PENDIDIKAN YANG BERKUALITI yang boleh menjanakan UMMAH BERKUALITI.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang sains lain, didapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian bangsa lain. Ini cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan cemerlang. Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menuntut kebijaksanaan tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaharuan ilmu dan pendidikan bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu daripada belenggu kebekuan bersifat tradisi. 

“DIDIKAN ITU IALAH BAGAIMANAKAH MENJATUHAKN ILMU KE DALAM HATI DAN TUJUAN PENDIDIKAN YANG SEBENAR IALAH SEBAGAI SALAH SATU WASILAH UNTUK MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT”







Monday 21 November 2011

Berprasangka Buruk, Hina Pesalah Bukan Akhlak Islam Sebenar.





Sudah menjadi lumrah manusia, pantang melihat kesalahan orang lain, sedangkan salah diri sendiri tidak di hiraukan bahkan ada sesetengah mereka yang tidak sedar diri mahu mempertahankan diri lagi sedangkan bukti itu sudah jelas.. 

Untuk memudahkan kita semua memahami berkenaan hal ini, di sini ada satu kisah yang jelas menggambarkan Islam mengajar umatnya berhadapan dengan orang yang melakukan kesalahan.

Umar al-Khattab melaporkan, pada masa hayat Rasulullah SAW ada seorang lelaki bernama Abdullah yang digelar sebagai Himar atau keldai dan sering membuatkan Baginda Nabi tertawa. Rasulullah SAW menghukumnya atas kesalahan meminum arak.
Pada suatu hari, lelaki itu dibawa kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengarahkan supaya dia disebat dengan cemeti. Ada seorang yang hadir waktu hukuman dilakukan berkata: “Ya Allah, hukum-lah dia! Banyak kali sudah dia dibawa untuk menerima hukuman kerana arak.”

Mendengarkan lelaki itu berkata demikian, lantas Rasulullah SAW berkata: “Jangan menghinanya kerana demi Allah, apa yang aku tahu dia cintakan Allah dan juga Pesuruh-Nya.”

Demikian halus akhlak Rasulullah SAW mendidik umatnya. Meskipun ada yang bersalah dan diberikan hukuman tetapi masih menegah orang lain mengutuk atau berdoa buruk terhadapnya. Inilah akhlak Islam sebenar.

Namun hakikatnya sekarang, pesalah yang melakukan kesalahan terus dihina dan dicaci. Bukankah lebih baik mendoakan untuk si pesalah supaya terus bertaubat dan dapat menjalani hidup seperti biasa. Itu bukan lah Akhlak Islam yang Sebenar...

Ini bukan cara menangani mereka yang melakukan kesilapan yang ditunjukkan Rasulullah SAW kerana Islam mempunyai teori dan praktikal tersendiri untuk membentuk masyarakat bertamadun kukuh dengan nilai menjaga hubungan sesama manusia.

Teorinya ialah sentiasa bersangka baik, hatta kepada yang pernah melakukan kesalahan. Jangan terus-terusan bersangka buruk terhadap orang itu hanya kerana dia pernah melakukan kesalahan, maka selamanya dianggap sebagai seorang berperibadi buruk.

Daripada perspektif praktikal pula, Islam menggalakkan umatnya menggunakan pendekatan nasihat dan doa. Nasihat-menasihati dalam usaha membetulkan sebarang kesalahan sesama mukmin termasuk dalam amalan salih yang diberi ganjaran pahala. 



Saturday 19 November 2011

Persoalan Agama: Pondan, Tomboy, Pengkid dilaknat Jika tak Berubah



Suami wajib nasihat isteri berperwatakan lelaki supaya ubah penampilan diri, jauhi dosa.


Soalan: APAKAH hukum suami yang tidak menegur isterinya berkelakuan ‘tomboy’ (berpakaian dan berperangai seperti lelaki). Apabila ditanya, jawapan suaminya, isterinya memang begitu sebelum berkahwin. Bagaimana cara untuk mengubah isteri yang sebegini.


Jawapan:


Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. - Surah at-Tahrim, Ayat 6


Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan lain-lain, daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.”



Dalam riwayat lain disebut: “Allah melaknat pondan dalam kalangan lelaki dan wanita yang (berlagak) seperti lelaki. Iaitu kalangan wanita yang menyerupai lelaki dalam hal pakaian dan tutur kata mereka.”
Fenomena tomboy dan pengkid adalah isu yang sepatutnya tidak diambil remeh dan sememangnya perlu ditangani. Tomboy iaitu perempuan yang berwatak atau berimej lelaki manakala pengkid adalah perempuan berwatak lelaki dan mempunyai keinginan dengan perempuan. Untuk mengenalinya, biasanya mereka berambut pendek serta memakai seluar jeans dan kemeja-T. Ada yang mengatakan sampai mengikat buah dadanya dengan kain agar kelihatan rata. 

Mereka cuba berlagak seperti lelaki dan berasakan mereka ini ada sifat kelelakian. Mereka cenderung untuk melakukan hubungan intim dengan perempuan. Ia berbeza dengan tomboy yang hanya menampilkan imej lelaki tetapi mereka masih mempunyai perasaan seperti perempuan biasa.

Berbalik kepada soalan, jika seorang perempuan itu memakai pakaian yang biasanya dipakai oleh lelaki bererti ia sudah menyerupai lelaki dan tentu saja ia diancam oleh laknat Allah SWT dan Rasul-Nya. 

Bagi suaminya yang tidak menegurnya iaitu dia tahu tetapi kemudian rela keadaan itu berlaku pada isterinya dan ia tidak mencegah isterinya, maka suaminya juga mendapat laknat Allah SWT sama dengan isterinya. Ini disebabkan ia sudah diperintahkan untuk membimbing agar isterinya taat kepada Allah SWT dan mencegahnya daripada segala maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...”

Ertinya, didik dan ajarlah mereka serta peliharalah mereka agar taat kepada Allah SWT dan cegahlah mereka daripada kemaksiatan sebagai kewajipan yang perlu dilakukan terhadap diri kamu sendiri. 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan bertanggungjawab atas mereka di akhirat kelak.”

Dalam riwayat Muslim dan lainnya daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah akan rosaklah orang lelaki jika mentaati wanita.”

Oleh itu suami yang mempunyai isteri berwatak sedemikian, maka wajiblah beliau menegurnya tetapi hendaklah dengan cara yang berhemah. Sebagai contoh, bawa isteri pergi ke majlis ceramah agama yang diadakan di masjid atau surau, hadiahkan isteri majalah atau buku yang berbentuk agama dan kewanitaan, belikan isteri pakaian wanita dan seumpamanya. Kewajipan menegur ini hendaklah dilaksanakan oleh pihak suami agar tidak ditimpa laknat Allah seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubah dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. Demikianlah wallahua’lam. 

Thursday 17 November 2011

Hijrah Rasulallah S.A.W


Maal Hijrah atau Awal Muharram adalah suatu hari yang penuh bermakna kerana ia menandakan permulaan dua peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Mekkah ke Kota Madinah Al-Munawarah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan lembaran baru dalam sejarah Islam di mana bermulanya agenda perubahan dengan meninggalkan pemikiran kuno iaitu ketaksuban kabilah atau bangsa kepada semangat perpaduan sebenar Islamiah. Betapa agenda perubahan tersebut berjaya menusup ke sanubari setiap individu Muhajjirin dan Ansar tatkala itu. Pemikiran dan idea baru yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah berjaya mengalahkan musyrikin Quraisy yang menentang dengan segala kepakaran dan strategi yang canggih. Betapa perpaduan sebenar, melangkaui fahaman kabilah atau kaum, jelas menjadi agenda utama Rasulullah SAW selepas peristiwa Hijrah.

Hijrah mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu. Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal. 

Sempena hijrah yang tidak lama lagi, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang. Hijrah juga menunjukkkan bahawa sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita. Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar. Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi.