Wednesday 28 December 2011

PENTINGKAH TEKNOLOGI DAKWAH??



DAKWAH?? Dakwah merupakan suatu kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam untuk menyebarkan dakwah Islam keseluruh dunia.. jika dilihat sejarah dakwah, Dakwah Islamiah merupakan kesinambungan daripada dakwah nabi-nabi yang terdahulu. Setiap nabi dan rasul yang diutuskan mempunyai cara atau manhaj mereka tersendiri. Apabila dilihat dalam konteks zaman sekarang, dunia zaman para nabi dan rasul sudah jauh meninggalkan kita dan telah berlaku satu transformasi yang mana dunia semakin moden dan semakin canggih dengan adanya pelbagai teknologi yang telah dihasilkan. 

ILMU teknologi dakwah itu ibarat ilmu pemasaran dalam perniagaan. Memerlukan kreativiti dan pelbagai ilmu sampingan yang digabungkan bagi menghasilkan tarikan. Sebelum kesan itu kelihatan, perlu terlebih dulu memikirkan kaedah menarik pandangan manusia dalam membuka pemikirannya dan seterusnya menyampaikan maklumat berguna berupa nasihat dan teguran. Justeru, ilmu dalam teknologi tertentu seperti penggunaan bahasa yang digemari, cara keras, lembut dan berselindung, selain penggunaan dalil atau santai tapi menyengat, melalui ceramah semata atau disertakan bunyian, melalui video dan sebagainya adalah diperlukan. Menyampaikan dakwah Islam atau sesuatu ilmu menerusi kaedah itu memberi peranan besar untuk menarik kumpulan manusia yang sangat pelbagai minat, kecenderungan dan kebosanan yang pelbagai. 

Apabila dilihat dalam zaman sekarang kebanyakkan orang mahukan suatu kelainan dalam menyampaikan suatu masej. Tidak kiralah samada masej itu berunsurkan dakwah atau pun satu maklumat penting. Dakwah itu boleh dilakukan dimana-mana dan boleh dilakukan dengan pelbagai cara mengikut kaedah tersendiri bagi setiap inidividu ataupun sekumpulan manusia. Ini dibenarkan dalam Islam selagi mana tidak melanggar daripada garis panduan syariat Islam. Melalui penulisan blog, Facebook, twitter, friendster dan sebagainya adalah suatu ruang medium yang boleh dipraktikan untuk menyebarkan dakwah islam. 

Zaman yang serba canggih dan pelbagai kemudahan ini begitu mudah untuk menyebarkan dakwah melalui laman sesawang. Kelebihan bagi mereka yang menggunakan teknologi ini boleh menyebarkan dakwah dengan begitu pantas dan membolehkan maklumat itu disampaikan kepada ramai pembaca. Hal ini sebenarnya adalah satu peluang yang Allah S.W.T anugerahkan kepada manusia supaya melalui kemudahan ini manusia dapat menyampaikan dakwah dalam pelbagai keadaan. Saya ambil Contoh Facebook seorang gitaris terkenal Sham Kamikaze (https://www.facebook.com/shamkamikaze) yang kini bergiat aktif dalam dakwah. Setiap kali post dalam Wall FBnya beliau mengajak supaya menunaikan solat tepat waktunya dan sentiasa menulis pada wall FBnya maksud ayat al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah. 

Jelas bahawa kepentingan ILMU TEKNOLOGI DAKWAH itu merupakan suatu ilmu yang mesti dipelajari umat Islam, ini kerana musuh-musuh Islam sudah terlalu kehadapan menguasai Ilmu Teknologi bagi menyampaikan dakyah mereka ke seluruh pelusuk dunia, tambahan pula melalui teknologi IT ini segala maklumat boleh di access dengan mudah dan disampaikan dengan begitu pantas dan segala mesej atau  maklumat boleh dihantar diseluruh dunia hanya dengan satu klik dan tiada siapa yang boleh mengawalnya.  

Buku Dakwah dan Teknologi Maklumat ini sebagai suatu panduan untuk pendakwah dan masyarakat umum untuk berdakwah menggunakan ICT. Penggunaan media yang tepat dan kontemporari sifatnya mampu menarik minat sasaran. 

Saturday 17 December 2011

Bila Umat Islam Bersatu Inilah Jadinya...

ASSALAMUALAIKUM W.B.T
MAJLIS ILMU MENGELUARKAN MANUSIA DARIPADA KEJAHILAN...
Majlis Ilmu yang telah disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus di Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi bertarikh 17/12/2011. Majlis ilmu bermula selepas solat maghrib.. disini ingin saya kongsikan bersama apa yang telah disampaikan oleh penceramah.. Tajuk ceramah ialah Ilmu TAUHID.. Apakah itu ilmu tauhid??? Semua ada di bawah. InshAllah mudah-mudahan ilmu ini dapat kita manfaatkan bersama dan berkongsi bersama.  Sebelum tu ini gambar yang sempat diambil masa majlis tersebut..

 Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi

Ustaz Azhar Idrus Semasa Menyampaikan Ceramah

Ruangan dalam masjid penuh..sampai aku terpaksa
solat Isyak trip kedua..hehe..

Alhamdulillah..Masjid dipenuhi hampir 70% golongan muda,
tidak ketinggalan juga mahasiswa/i UKM dan pelajar IPTA dan IPTS turut memeriahkan majlis ilmu ini.

Makna kalimah tauhid
Kalimah tauhid membawa pengertian mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT)  semata-mata. Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah itu meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan perbuatan.
Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri’tiqad bahawa Allah SWT  bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam. Tauhid al-Uluhiyyah pula bermakna menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan yang sentiasa dipatuhi.

Allah jua bersifat mutlak
Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah sebagai Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya dan berharap kepada-Nya.
Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah. Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah. Allah, Dialah Maha berkuasa, mencipta, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.
Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’, bermakna hanya Allah yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.
Firman Allah SWT:
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-An’am: 17)
Dengan sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah kesan tauhid kepada seseorang. Dia hanya takut kepada Allah, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah.

Fitrah mengakui Rububiyyah Allah
Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah SWT.

Firman Allah SWT:
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah.” (Az-Zukhruf: 87)
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang:  Siapakah pencipta langit dan bumi?  Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.”(Az-Zukhruf: 9)
Tidaklah susah  untuk membuktikan Rububiyyah Allah SWT. Fitrah setiap insan adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta. Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia. Al-Quran  mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-’Alamin. 

Firman Allah SWT:
“Berkata rasul-rasul mereka: Apakah terdapat keraguan terhadap  Allah, Pencipta langit dan bumi.” (Ibrahim: 10)
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.”(An-Naml: 14)
Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil (‘inad) dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan mendalam yang mengakui kewujudan al-Khaliq. Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya. Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah semata-mata. Benarlah Firman Allah SWT:
“Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar.” (Luqman: 32)
Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah terbukti dengan dalil yang banyak dan pelbagai.

Tauhid al-Uluhiyyah
Maksud Tauhid al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Allah SWT mengutuskan para rasul bertujuan menyeru manusia  menerima Tauhid al-Uluhiyyah. Firman-firman Allah SWT yang berikut membuktikan hal tersebut:
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.” (Al-Anbiya’: 25) 
Cetusan rasa cinta kepada Allah

Menyembah atau beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba itu disifatkan sedang menyembah Allah apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Allah, bertawakkal kepada Allah, berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Allah, berpaut kepada ketentuan Allah, meminta (mengharap) serta memulang (menyerah) sesuatu hanya kepada Allah, berjinak-jinak dengan Allah dengan cara sentiasa mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat Allah dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut cara-cara yang diredhai Allah.


Thursday 1 December 2011

BERMUHASABAH DIRI DI HARI JUMAAT

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani."  (al-Bukhari)

Alhamdulillah, roh kita masih berada di dalam jasad kita. Syukur masih diberi peluang untuk melihat keindahan dunia ciptaan Allah Yang Maha Esa, dan masih hidup dalam nikmat BERIMAN kepada Allah. Selawat junjungan ke atas Rasulullah S.A.W.


Mungkin jika kita masih terikat dengan keenakan atau kenikmatan dunia, kita sering alpa, atau mungkin terlupa, atau juga mungkin sengaja melupakan. Digalakkan lagi dengan bisikan-bisikan yang memancing diri supaya melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
Bisikan-bisikan tersebut seperti bisikan dari syaitan, nafsiah (nafsu) dan hati kita sendiri yang berhaluan kiri.
Kita manusia biasa, tiada keistimewaan kecuali dimartabatkan sebagai golongan yang paling istimewa di sisi nabi kesayangan kita yakni Nabi Muhammad SAW selepas wafatnya.
Beruntungkan kita? Tapi bagaimana caranya untuk kita mengelak dari berlaku perkara yang merugikan dan punyai hati yang tidak sihat?
Muhasabah diri, adalah rawatan yang paling mudah untuk diri kita sendiri menerima sesuatu keadaan sewajarnya. Ia dapat memusatkan seluruh anggota badan kita dari luar dan dalam supaya melihat kembali keadaan diri dan juga keadaan sekeliling kita.
Demi masa. Sesungguhnya manusia didalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan orang yang beramal soleh, saling mengajak kepada kebenaran dan menasihati dengan kesabaran – Surah Al-Asr.

Cara mudah muhasabah diri

Untuk itu sebaiknya kita tahu bagaimana kita mahu muhasabah diri. Mulakannya dengan cara yang lebih mudah supaya sedikit demi sedikit diri kita lebih menyayangi Allah, Nabi Muhammad SAW, kitab al-quran dan agama kita.

Ingat Allah

Perkara pertama yang kita wajib buat sebagai orang islam selepas mengangkat tauhid kita dalam ucapan syahadah dalam rukun islam dan yang pertama dalam ketertiban rukun iman.
Perbanyakkan zikir sama ada zikir lisan mahu pun zikir hati – tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.


Solat

Sesiapa sahaja yang mengaku umat islam boleh melakukan solat tetapi adakah solat kita dapat menghalang kejadian keji dan mungkar?
Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
Solat itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya, sesungguhnya ia menegakkan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia telah merobohkan agamanya.
Renungkan sabda tersebut dan bandingkan apa yang berlaku disekeliling kita pada hari ini. Bukankah apa yang berlaku pada masa ini ada sangkut paut dengan apa yang kita lakukan setiap hari? Tepuk dada tanya iman.
Dan dirikanlah solat untuk menyebut dan mengingati-Ku – Thoha: 14.
Solat juga merupakan titik tolak atau penanda aras sama ada kita mengingati Allah atau tidak. Solat 5 waktu adalah wajib jika kita melakukan banyak solat-solat sunat, maka kita semakin mengingati Allah.
Insya allah, kita semakin dekat dengan Allah sehingga apabila ada yang menyebut perkataan Allah atau mendengarnya sudah meremang satu badan!

Selawat

Sesiapa yang rajin berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW,  dia dianggap kekasih kepada kekasih Allah.
Menurut petua mencuci hati dari Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah,
Selawatlah ke atas nabi sekurang-kurangnya 100 kali sebelum tidur. Ia merupakan pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki dan orang akan sayangkan kita.


Dalam diri manusia terdapat seketul daging..yang mana apabila bersih amalan kita dan perbuatan kita maka maka ia turut menjadi bersih.. sekiranya kita sering kali melakukan perbuatan yang keji maka ia juga turut sama menjadi kotor..dan itu lah SEBENTUK HATI yang di ciptakan Allah S.W.T. Muhasabah diri setiap hari itu lah salah satu untuk mendapat ketenangan jiwa.