Thursday 17 November 2011

Hijrah Rasulallah S.A.W


Maal Hijrah atau Awal Muharram adalah suatu hari yang penuh bermakna kerana ia menandakan permulaan dua peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Mekkah ke Kota Madinah Al-Munawarah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan lembaran baru dalam sejarah Islam di mana bermulanya agenda perubahan dengan meninggalkan pemikiran kuno iaitu ketaksuban kabilah atau bangsa kepada semangat perpaduan sebenar Islamiah. Betapa agenda perubahan tersebut berjaya menusup ke sanubari setiap individu Muhajjirin dan Ansar tatkala itu. Pemikiran dan idea baru yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah berjaya mengalahkan musyrikin Quraisy yang menentang dengan segala kepakaran dan strategi yang canggih. Betapa perpaduan sebenar, melangkaui fahaman kabilah atau kaum, jelas menjadi agenda utama Rasulullah SAW selepas peristiwa Hijrah.

Hijrah mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu. Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal. 

Sempena hijrah yang tidak lama lagi, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang. Hijrah juga menunjukkkan bahawa sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita. Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar. Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi.




1 comment: